loading...

Hadits Jibril

            Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera, serta Salam Jumaat penghulu segala hari buat semua pembaca Blog Tok Wan Gila. Tok Wan harap hangpa semua sihat dan sentiasa dalam rahmat Allah. Arini Tok Wan terdetik hati nak menulis pasal Hadits Jibril. Ini antara pelajaran terawal yang arwah ayah Tok Wan ajarkan dulu.. tergiang-giang lagi kata-kata dia.. "Dengaq kata aku tapi jangan ikut perangai aku". Ha... tapi ayat tu takdak kena mengena pun dengan post kali ni... huhuhu...
             Harini, Tok Wan nak sembang pasal Hadits Jibril. Hadits Jibril ni boleh dikatakan ibu kepada ilmu Fekah, Tauhid dan Tasauf. Dulu dia dok kata kalau kita belajar ilmu apapun dalam hidup kita jangan kita lupa tentang Hadits Jibril ni. Banyak pecahan dan cerita tentang hadits ni, tapi Tok Wan tulis pelan-pelan la. Tulis panjang-panjang bukan hangpa baca pun. huhuhu... lawak ja na.. Tok Wan tulis bab demi bab supaya hangpa senang faham. Dok berdepan pun kena cerita pelan-pelan jugak.. biaq hadam, biaq lekat. ha.. faham kan...
           Hadis ni diceritakan oleh sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Saidina Umar r.a. dan diriwayatkan dalam Sohih Muslim juz 1 hadis no 8. Ha... Hadits ni boleh kata yang paling asas atau perkara pokok. Jadi kena tau la.. hurm.. tapi mungkin ramai dah yang tau.. atau terlupa. Takpa... kita sama-sama ulang kaji. Biaq sama-sama igat, sama-sama lekat. Insya Allah biar jadi ilmu yang bermanfaat. Amin.
Daripada Umar R.A, beliau berkata:
بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم ذَاتَ يَوْمٍ، إذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم . فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ،
وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إنْ اسْتَطَعْت إلَيْهِ سَبِيلًا. قَالَ: صَدَقْت . فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ! قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ. قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ. قَالَ: صَدَقْت. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ. قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك.
قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا، ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ ".
Maksudnya: “Ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang sangat putih pakaiannya dan sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda perjalanan jauh dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya.
Sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua lututnya kepada lutut Baginda, lalu berkata: “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.” Sabda Rasulullah SAW: “Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan Solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji jika mampu.” Kemudian dia berkata: “Anda berkata benar”. Kami hairan, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkan.
Kemudian dia bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang Iman”. Lalu Baginda bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-RasulNya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik atau yang buruk.” Kemudian dia berkata: “Anda berkata benar.”
Kemudian dia berkata lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Ihsan”. Lalu Baginda bersabda: “Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya maka Dia melihat engkau”.
Kemudian dia berkata: “Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku)”. Beliau bersabda: “Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya.” Dia berkata: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat pengembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya”.
Kemudian orang itu berlalu dan aku (Umar RA) membisu beberapa ketika. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?” Aku berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: “Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”
Riwayat Muslim (8)
           Berdasarkan hadits ni kita dapat simpulkan beberapa perkara. Tok Wan nak cerita yang nyata ja.. sebab senang faham. Kalau cerita pelik-pelik satgi ke dalam plak.. kata ajaq ilmu sesat. Lagi satu kalau bab hadits ni tak boleh memandai-mandai.. takut ke neraka satgi.. jangan main-main. Allah murka.. Jangan kita dok permain kata-kata Allah atau kata-kata Nabi untuk kesenangan diri kita sendiri, untuk dunia. Susah kalau jadi penunggang agama. Allah tak redho.. ha..
             Dalam hadits ni jelas menceritakan tentang Islam, Iman, Ihsan serta diterangkan tentang bila dan tandanya hari kiamat. Jelas, takde samar-samar. Faham kan...
Rujukan yang pertama:
“Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.” Sabda Rasulullah SAW: “Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan Solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji jika mampu.” Kemudian dia berkata: “Anda berkata benar”.
            Apa yang hangpa semua paham bab petikan diatas.. ha.. Tudia.. Rasulullah saw dengan jelas telah menerangkan tentang Rukun Islam 5 perkara. Apa dia tu Rukun Islam? Tok Wan ringkaskan, tulis point by point. Senang nak igat:
Rukun Islam
1. Syahadah
2. Solat
3. Zakat
4. Puasa
5. Haji
Jelaskan, ha.. inilah intipati-intipati untuk ilmu fekah. Fekah ni sebenaqnya ilmu merangkumi tatacara dan rukun-rukun ibadat. Hangpa tau kan.. hat lima tu kira ibadat wajib la.. Senang cerita kalau dah kita buat hat lima tu, kira kita ni sah dah sebagai seorang MUSLIM.
          Tapi satgi orang dok tanya plak awat dia solat lain macam kami dok solat. Hat tu dia solat ikut Mazhab dia la bang oi.. Mazhab tu maksud pandangan. Depa ada la nas-nas dia yang depa pegang. Jangan dok hukum orang. Ada orang la ni suka sangat dok hukum.. Qunut haram la.. doa lepas solat tak boleh la.. Nanti kita sembang bab solat.. sabaq sat..
           Tokoh-tokoh yang terkenal dalam ilmu fekah ni ramai tapi Tok Wan bagi kenai sikit ja la sebagai info, antaranya: Imam Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Hanbali dan ramai lagi.
Seterusnya,
Rujukkan yang kedua:
Kemudian dia bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang Iman”. Lalu Baginda bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-RasulNya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik atau yang buruk.” Kemudian dia berkata: “Anda berkata benar.”
        Hat bahagian ni, Rasulullah saw cerita kat kita tentang Rukun Iman. Tok Wan pointkan sat:
Rukun Iman
1. Beriman kepada Allah
2. Beriman kepada Malaikat
3. Beriman kepada Kitab
4. Beriman kepada Rasul
5. Beriman kepada Hari Akhirat
6. Beriman kepada Ketentuan baik atau buruk
Ha.. dah point dah.. senang sikit nak hapai.. betui dak.. Rukun Iman ni adalah ibu kepada Ilmu Tauhid. Apa dia maksud beriman tu? maksud dia PERCAYA. Percaya macam mana? Kita mesti mengakui dengan Hati, Lidah dan Perbuatan.
          Tokoh yang terkemuka dalam bidang Tauhid ni bagi Tok Wan adalah Imam Asy'ari. Bagi hangpa Tok Wan tak tau la.... Ha... yang dikatakan seorang MUKMIN itu adalah dia mengaplikasikan Rukun Islam dan Rukun Iman yang dalam hidupnya. Cakap senang tapi nak buat susah.. huhuhu.. bukan susah tapi lupa.. lalai.. huhuhu.. bukan kata kat hangpa.. kata kat Tok Wan sendiri la.. huhuhu... Nanti post seterusnya kita pecah kan lagi bab ni..
Seterusnya,
Rujukan yang ketiga:
Kemudian dia berkata lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Ihsan”. Lalu Baginda bersabda: “Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya maka Dia melihat engkau”.
Ha... hatni ramai orang dok lupa. Kadang-kadang ada yang tak tau langsung tu. Padahal ni la antara rukun yang paling penting yang kita kena tau, kena buat.
Rukun Ihsan
"Beribadahlah seolah-olah kita melihat Allah, Jika kita tak dapat melihatNya, Yakinlah Allah pasti melihat kita."
Ha.. tu dia Rukun Ihsan satu perkara. Tapi hat satu perkara ni yang paling penting dan susah. Sebab dia, kalau kita dah tau Allah tengok kita dan kalau kita betui-betui nampak Allah... Percayalah..
Takkan satu dosa pun akan berlaku di atas muka bumi ni. ha...
Banyak jadi sebab kita tak nampak Allah dan ramai antara kita tak pernah merasai kehadiran Allah dalam dirinya. Sebab tu merapu ja jadi... hawaq.. Bukan kata kat hangpa.. Tok Wan la Hawaq.. Gila.. Betui dak. huhuhu...
          Rukun Ihsan ni adalah ibu kepada ilmu Tasawuf. Ilmu ni bukan setakat mengenal dan merasa tetapi menyakini kehadiran Allah dalam setiap gerak nafas perbuatan kita dalam setiap detik. Disinilah kita selalu mendengar subjek Syariat, Tarikat, Hakikat dan Makrifat selalu disebut-sebut. Tokoh yang selalu orang dok sebut-sebut dalam bidang tasawuf ni adalah Imam Al-Ghazali.
           MUHSIN adalah gelaran yang disebut-sebut kepada orang yang
dapat menghidupkan Islam, Iman dan Ihsan dalam dirinya.Disini Tok Wan cuba kembali jelaskan dengan sebenar-benarnya adalah kesemua tokoh-tokoh yang Tok Wan sebutkan sebelum ni adalah Muhsin walaupun mereka terkenal dalam bidang masing-masing.Jadi tugas kita pulak untuk menjadi seorang hamba Allah yang sejati. Kita pun sama kena mengaplikasikan Islam, Iman
dan Ihsan dalam kehidupan kita tanpa menolak salah satu daripadanya. Paham dak... Jangan ambik satu bahagian tolak satu bahagian.. penin nak jawab ni.. huhuhu
Seterusnya,
Rujukan yang ke empat:
“Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku)”. Baginda bersabda: “Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya.” Dia berkata: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat pengembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya”.
Ha... Bahagian hat ni dia lebih kepada futuristic sikit. Hadits pasai masa depan. Tok Wan pecahkan kepada 2 bahagian:
Yang Pertama:
Beritahukan kepadaku tentang (bila datangnya) Hari Kiamat?
Orang yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Itu jawapan Rasulullah saw. Baginda nak bagi tau kita takdak satu makhluk pun boleh tau tentang bila nak jadi hari kiamat ni. Ha..
           Benda ni sebenaqnya termaktub dalam perkara-perkara ghaib yang hanya Allah ja tau. Dalam surah Al Mulk ayat 25 & 26 menceritakan:
Dan mereka (yang ingkar) berkata: "Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?"
Surah Al Mulk ayat 25
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata".
Surah Al Mulk ayat 26
           Tapi, walaupun Rasulullah saw tak dapat memberi tahu bila terjadinya hari kiamat. Tapi Rasulullah telah memberikan kita tandanya:-
Yang Kedua:
Jika hamba sahaya wanita telah melahirkan tuannya.
Pendapat Tok Wan la, pada akhir zaman nanti ramai anak yang memperlakukan ibunya seperti hamba (derhaka). Kita boleh tengok zaman la pun dah nampak, anak-anak ni buat mak pak dia macam orang gaji dia ja. Minta duit beli nu beli ni, lagi mak pak dia tak bagi merajuk. Kena marah sikit lari dari rumah. Sampai mak pak dia nak kena ikut cakap dia. Ha.. nampak dak?
Jika engkau melihat orang-orang yang tidak beralas kaki, tidak berpakaian, miskin, dan penggembala kambing, berlumba-lumba mendirikan bangunan. Pendapat Tok Wan, di akhir zaman ramai umat Islam lebih suka mengejar harta dunia walaupun depa tidak berkemampuan sanggup berhutang asalkan nampak kaya sehingga meninggalkan amal ibadah wajib yang sepatutnya depa buat. Lagi satu kita boleh tengok orang dok sibuk buat bangunan tinggi-tinggi, sibuk dok kumpul harta dunia. Biaq papa asal bergaya orang kata tapi lupa akan sebab apa kita dijadikan.
              Benda ni bertepatan dengan sabda Rasulullah saw mengatakan
ramai umat akhir zaman terkena penyakit Al-Wahan (cinta dunia dan takut mati). Sampai ada yang sanggup gadai maruah agama semata-mata mengejar pangkat dan harta duniawi. Tok Wan bagi nasihat ja.. kalau nak ikut.. ikut la.. kalau tak mau ikut nak buat macam mana betui dak...
Seterusnya,
Rujukan Kelima:
Sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua lututnya kepada lutut Baginda,
         Ni kita boleh tafsirkan sebagai adab menuntut ilmu. Sama jugak la macam kita amik ijazah dengan guru kita, duduk bersila lutut bertemu lutut betui dak... kalau orang lain Tok Wan tak tau la kalau Tok Wan amik ijazah dulu macam ni.
Seterusnya,
Rujukkan yang Ke Enam:
“Ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang sangat putih pakaiannya dan sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda perjalanan jauh dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya."
Kemudian orang itu berlalu dan aku (Umar RA) membisu beberapa ketika. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?” Aku berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: “Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”
              Bahagian ni dia mistik la sikit, bagi Tok Wan manusia biasa ni tak akan boleh melihat Malaikat, kecuali para Nabi dan Rasul atau orang-orang yang dipilih oleh Allah. Pendapat Tok Wan je la, kalau orang lain kata boleh tu pendapat orang lain. Tapi di sebabkan Hadits ni terlalu penting buat seluruh umat jadi Allah mengizinkan Jibril menyerupai manusia untuk menyampaikan Hadits ni untuk disaksikan kepada semua para sahabat-sahabat Rasulullah saw pada waktu tu. Sebab tu Rasulullah bersabda pada akhir hadis tu:
“Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu".
         Dah abis. Tok Wan rasa cukup la kot buat kali ni. Hangpa jangan percaya sangat cakap orang gila.. takut hangpa pun gila.. tapi kalau rasa benda baik boleh ikut.. ikut ja.. kalau tak baik tak payah la nak ikut.. nanti gila macam Tok Wan juga nanti. Lagipun Tok Wan bukan ulamak, bukan ustaz, cuma pesakit mental ja.. huhuhu...
Segala yang baik dari Allah... yang buruk dan yang gila dari Tok Wan..
Jumpa lagi di post akan datang. Insya Allah.
Assalamualaikum wbt.

Ulasan

loading...

Catatan popular daripada blog ini

Asal Melayu dari Atlantis

Ilmu Pengasih Umum

loading...