loading...

Asal Melayu dari Atlantis

       Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera kepada semua pembaca blog Tok Wan Gila. Tok Wan harap hangpa semua hepi hepi la no. Tok Wan sihat ja.. batuk batuk tu biasa la.. umur dah dekat dekat senja ni. huhuhu..

      Semalam sebelum tidoq Tok Wan dok scroll Google.. terjumpa la tajuk satu rencana dari Utusan Online tahun 2016. Best jugak tajuk dia. Tok Wan nak copy.. pastu kita bincang sama-sama la no. Tok Wan boleh bagi pendapat Tok Wan ja. betui ka dak terserah hangpa la. huhuhu....
____________________________________

Asal Orang Melayu dari Atlantis!

BENUA SUNDA 14,000 - 30,000 tahun dahulu semasa zaman ais.

Hafizahri l Hamid
30 Oktober 2016 6:00 PM

TIADA perkataan yang lebih tepat untuk kita memahami siapa dan apa itu Melayu selain memahami bait-bait puisi bertajuk "Melayu" yang dikarang oleh Sasterawan Negara tersohor, Usman Awang.

         Sememangnya apa yang diungkap oleh Usman dalam puisinya itu sangat bertepatan dan sinonim dengan ciri-ciri dan sifat orang Melayu itu sendiri.
Apatah lagi apa yang cuba disampaikan beliau melalui puisinya itu begitu menggamit kebenaran selain membuktikan kehebatan bangsa ini berdiri di atas kakinya dalam menyelusuri dan mencipta sejarah bangsanya.

               Antara bait puisinya yang begitu terkesan bagi mereka yang bernama Melayu;

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah
zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala
kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

            Namun kini agak malang bagi orang Melayu itu sendiri yang sehingga kini masih terdapat mereka yang alpa malah lebih menyedihkan ada juga yang malu tentang asal usul bangsanya.
Apatah lagi terdapat beberapa teori menyatakan bahawa bangsa Melayu itu bukan bangsa teras dan berasal dari China khususnya Yunnan atau New Guinea. Dengan itu ada antara orang Melayu itu sendiri berasa malu dan terasing dengan dirinya sebagai Melayu.

            Namun hakikatnya, asal usul orang Melayu memang seringkali menimbulkan polemik serta perdebatan dalam kalangan ahli akademik dunia. Ada pelbagai teori mengenai asal usul orang Melayu. Sehingga kini dikatakan ada tiga teori utama yang telah diketahui umum mengenai asal usul orang Melayu.

            Teori pertama mengenai asal usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang Melayu yang menggunakan sampan dari daerah Yunnan di selatan China dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan. Ia dikenali sebagai "Teori Keluar Dari Yunnan" dan dikemukakan pada tahun 1890.
  
          Teori kedua, yang dikemukakan pada tahun 1965, mengatakan orang Melayu seorang pelayar yang unggul, yang bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh untuk para pedagang antarabangsa yang terdiri daripada orang Arab, China dan India selama lebih 2,000 tahun yang lalu. Teori ini yang digelar "Keluar Dari New Guinea", dikemukakan pada tahun 1965.

          Akibat interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab, mereka selepas itu menjadi maju lalu menubuhkan sebuah bangsa baharu yang dikenali sebagai bangsa Melayu. Teori ini dilihat paling menghina orang Melayu kerana kekurangan bukti dan kajian saintifik mengenainya selain hanya sekadar mampu menjadi hamba dan buruh bagi bangsa lain.

           Teori ketiga dan paling popular dalam kalangan orang ramai, ialah "Teori Keluar dari Taiwan" yang berdasarkan teori lingustik dan bukti arkeologi. Teori ini mengatakan bahawa orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada Taiwan. Teori ini yang turut dikenali "Teori Kereta Api Ekpress ke Polynesia", mengatakan orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak 6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya mereka bertebaran ke serata dunia.

             Mereka dikatakan merantau dari Pulau Madagascar di Timur sehinggakan ke Pulau Easter di Barat, dan dari Jepun di utara sehinggakan ke New Zealand di selatan. Teori ini dipelopori oleh Peter Bellwood, seorang pakar lingustik dan disokong bukti arkeologi oleh Eusibio Dizon. Teori ini dikemukakan kepada dunia pada tahun 1997, dengan terbitnya buku The Austronesian oleh Peter Bellwood dan Eusibio Dizon.

        Namun terdapat satu lagi teori yang telah dikemukakan 20 tahun lalu oleh pakar antropologi Profesor Wan Hashim Wan Teh dan pakar arkeologi Profesor Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman.

Bangsa teras

Menjadikan kajian ini lebih kukuh dan diterima sebagai paling tepat tentang asal usul Melayu ialah apabila beberapa sarjana Barat turut menyokong dapatan tersebut.
Dr. Steven Oppenheimer, pakar Paleontologi Wilhelm G. Solheim dan Professor Arysio Nunes dos Santos telah mengambil bukti-bukti geologi dan mitologi, dan digabungkan dengan bukti arkeologi, genetik dan linguistik bersetuju untuk mengatakan, orang Melayu sebenarnya berasal dari sebuah tamadun yang hilang, yang dinamakan Benua Melayu Sunda atau Tamadun Sunda. Bangsa ini hakikatnya telah wujud sejak 15,000 tahun Sebelum Masihi berdasarkan kajian mereka.
Lebih membanggakan orang Melayu itu bukan sahaja bangsa teras malah dikatakan Benua Sunda Melayu itu juga adalah benua tamadun Atlantis yang hilang.

          Perkara ini telah dinyatakan oleh Oppenheimer dalam bukunya bertajuk, Eden in the East, The Drowned Continent of Southeast Asia keluaran tahun 1999. Beliau yang juga tenaga pengajar di Universiti Oxford turut mengemukakan teori bahawa migrasi moyang kepada rumpun Melayu dari kabilah Negrito, Asli Semang dan Senoi adalah secara terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda.
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Prof. Wan Hashim, Prof. Nik Hassan dan Zaharah Sulaiman dalam bukunya; Sejarah Tamadun Melayu, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, kedudukan Asia Tenggara kuno ketika Zaman Ais bukan seperti yang ada sekarang.

           Malah Asia Tenggara kuno disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul yang menghubungkan Australia.

        Dengan perairannya yang cetek dan mudah dilalui telah mewujudkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk manusia dan haiwan di tanah besar Asia atau apa yang dikenali pada hari ini sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara.

          Keluasan gugusan ini atau Benua Sunda dihitung dua kali lebih besar daripada Benua India. Laut Champa, Teluk Siam dan Laut Jawa ketika itu kering kontang menjadi dataran pelantar bagi menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut.
Menurut Oppenheimer, di Benua Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) kira-kira lebih 6,000 tahun lampau. Malah menurut Prof. Wan Hashim yang dipetik daripada kajian Da Silva, bangsa Melayu itu sudah wujud dan terbentuk pada 15,000 tahun Sebelum Masihi.
Maka di sini jelaslah bahawa bangsa Melayu itu bukan baharu tertubuh setelah penjajahan Barat. Atau bangsa Melayu itu hanya berpusat di Selat Melaka seperti yang didakwa oleh Anthony Reid yang sekali gus menolak "Teori Keluar Dari Taiwan" dan "Teori Dari New Guinea" yang menolak sama sekali kewujudan bangsa Melayu sebagai bangsa teras dan hanya sekadar bangsa 'menempel'.

            Kajian ini turut menyimpulkan bahawa Benua Sunda Melayu ini terpisah akibat fenomena kejadian banjir magnitud besar. Akibat kejadian ini maka wujudlah kedudukan yang terdapat kini di Asia Tenggara. Malah menurut kajian Oppenheimer lagi kejadian banjir besar ini mencadangkan bahawa legenda purba Bandar Atlantis yang tenggelam itu adalah tinggalan Benua Melayu Sunda.
Apatah lagi tamadun awal di benua Sunda ini diibaratkan Eden in the East. Hal ini telah pertama kali dinyatakan oleh ahli falsafah terkenal Yunani, Plato dalam bukunya Timaeus and Critias. Beliau menyebut para penduduknya dianggap sebagai dewa atau superior tetapi telah lenyap dalam masa satu hari yang malang.

         Beliau menyatakan bahawa telah berlaku berbagai kejadian letupan gunung berapi, gempa, banjir besar, pencairan ais yang menyebabkan permukaan bumi tenggelam. Dan bahagian bumi yang hilang ini disebut sebagai Atlantis. Antara lokasi yang dinyatakan sebagai Atlantis adalah di Laut Champa, utara Indonesia dan Laut Jawa.

         Yang menjadi permasalahan utama adalah banyak penulisan tentang sejarah dan asal usul Melayu diterbitkan oleh bangsa asing. Mereka ini hanya menjalankan kajian berdasarkan pemahaman dari jauh dan rambang. Kemudian diberi kesimpulan dan spekulasi mengkategorikan Melayu yang berbilang suku kaum ini sebagai etnik berasingan tanpa fakta kukuh dan tiada kewajaran hipotesis dalam banyak hal.

              Hakikatnya, sama ada mahu menerima realiti atau tidak kesemua mereka ini adalah sebangsa dari latar belakang rumpun yang tidak jauh beza. Dalam erti kata lain, Jawa itu Melayu, Siam itu Melayu, Moro itu Melayu, Minang itu Melayu, Dusun itu Melayu, Iban itu Melayu, Filipina itu Melayu dan Dayak itu Melayu.

        Suku kaum kepada etnik bangsa Melayu adalah sebaka dan serumpun. Maka kita boleh simpulkan kesemua Melayu Asli (orang asal) ini sebenarnya tidak berasal dari Yunnan atau Taiwan. Sebaliknya orang Taiwan dan Yunnan itu sebahagian besarnya adalah berasal dari Asia Tenggara.

           Akhir kata orang Melayu tidak perlu lagi malu dan berasa terasing dengan sejarahnya kerana telah terbukti kita adalah teras dan serumpun. Hanya orang luar yang memutarbelitkan sejarah.
____________________________________
        
         Apa pendapat hangpa? Memang tengok tarikh cerita pun tahun 2016. Tapi ni cerita 14,000 tahun sebelum masihi ni. Orang putih dok sibuk cari Atlantis, betui dak? Tapi depa pun tak tau Atlantis tu kat mana. Tapi bagi Tok Wan Atlantis ka, Lemuria ka, Sundaland ka ni kat tempat kita la. Ni kat Nusantara ni atau asean atau asia tenggara. Kalau dari segi saintifik dan geografi serta bentuk muka bumi memang depa boleh scan guna satelit, memang nampak kawasan asia tenggara ni sebenarnya bercantum pada asalnya.

          Kepada orang melayu yang rasa hangpa tu ala-ala omputeh tu baik convert balik jadi melayu. Silap-silap omputeh tu yang asai daripada melayu. Tok Wan sependapat dengan penulis yang mengatakan Melayu ni bangsa teras bukan tempelan. Lagi satu hangpa tak tengok ka berapa ramai orang luaq ni sibuk nak dok Malaysia atau negara nusantara ni. Semua sibuk nak balik kampung ni.. huhuhu.. Tok Wan lawak ja..

          Lagi satu, ni mungkin khalayan atau pendapat bodoh atau gila dari Tok Wan ja. Mungkin Nabi Nuh as ni pun berasal dari Atlantis. Sebab apa Tok Wan cakap macam tu, sebab manusia zaman tu sombong. Depa rasa dengan teknologi yang depa ada dah maju kononnya depa boleh lawan Allah Taala. Sebab tu Allah wahyukan Nabi Nuh as buat bahtera bawak pengikut-pengikut dia masa bencana berlaku. Hancur habis la tenggelam kena langgaq bah kecuali Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya dalam Bahtera.

            Jadi kesimpulan bodo-bodo Tok Wan ni. Nabi Nuh as ni macam Adam yang kedua la. Umat manusia sekarang ni berasal dari Nabi Nuh as dan pengikut-pengikut dia. Jadi sebagai peringatan dan amaran janganla kita dok buat kahaq dengan Allah, kalau Allah nak tibai kita sat ja. Tapi Allah ni maha pengasih lagi pengasihani. Rahmat dia lagi besaq dari kemurkaan dia. Maka puak-puak lgbt, puak suka pecah belah, puak yang suka hukum orang, puak yang gila harta dan pangkat dunia ni mai la tobat cepat. Jangan dok bangga la pasai hangpa jadi PM ka, paling pandai dalam dunia ka, paling alim ka takyah la. Mai kita pakat-pakat kembali pada Allah. Sebelum Dia tibai kita nanti tak sempat nak taubat.

          Cukup la buat kali ini Tok Wan rasa. Nanti kita bertemu dalam post yang seterusnya. Insya Allah.
Assalamualaikum wbt.

Ulasan

loading...

Catatan popular daripada blog ini

Hadits Jibril

Ilmu Pengasih Umum

loading...