loading...

Lagenda Si Bongkok Tanjung Puteri

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera kepada semua. Apa habaq? Tok Wan harap hangpa semua sihat la no...
        Lani Tok Wan tengok ramai dah anak anak muda melayu dok lupa diri. Dok ikut sangat budaya budaya penjajah. Dari segi liberal dia, sekular dia, LGBT kot ataih lagi. Tu tak kira lagi yang dok hina pahlawan-pahlawan dulu lagi. Ada yang sanggup dok kata komunis ni baguih pun ada. Hancur lebur dah la pengorbanan tok nenek kita dulu.
             Lani Tok Wan nak tanya hangpa, berapa ramai pahlawan dulu yang hangpa kenai... cer crita kat Tok Wan. Lepas ni Tok Wan rasa kena tulis banyak sikit pasai pahlawan pahlawan melayu dulu. Bagi sedaq sikit anak-anak melayu lani. hangpa igat Melayu ni cikai sangat ka?
            Bagi post kali ni Tok Wan nak bawak crita dari selatan semenanjung, senang crita Johor la. Hangpa penah dengaq dak crita "Si Bongkok Tanjung Puteri".
            Kalau tak penah jom baca. Tok Wan pun baca kat Blog Orang. Tapi Tok Wan nak ucap tahniah ka kat "Abdul Latip Talib" sebab mengkisahkan kembali cerita ni. Dulu Tok Wan pun penah dengaq crita ni tapi banyak versi la. Ada yang kata Si Bongkok ni pompuan, ada yang kata lanun, ada yang kata pengamal ilmu dan macam-macam la. Tapi versi Abdul Latip Talib ni yang Tok Wan boleh hadam la.
          Si Bongkok Tanjung Puteri.
                 Abdul Latip Talib.
Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.
Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.
Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.
Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.
Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak. Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.
Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.
Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.
Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.
Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang.
Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.
Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.
Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.
Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka.
Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.
Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.
Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan.
Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.
Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.
Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.
Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.
Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.
Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.
Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.
Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.
Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di situ secara rahsia.
Pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.
          Penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.
Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.
Kini cerita mengenai Si Bongkok hanya tersebar secara lisan hampir ke seluruh Johor sehingga kini, Lagenda Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.
Lirik lagu
Tanjung Puteri
Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri.
______________________________
Lani hangpa nampak dak permainan musuh Islam. Depa sanggup kata orang cacat sebagai pemberontak, lanun. Orang yang berhak dinafikan, orang yang tak berhak gila kuasa. Melayu bila bergaduh sesama melayu, maka musuh akan cucuk jarum. Biaq kita bunuh sesama sendiri depa dok tepi tepuk tangan sambil makan pop corn.

       Hangpa paham dak apa sebenaq yang Tok Wan nak sampaikan ni.  Hangpa pikiaq la no... Jumpa lagi di next post.
Assalamualaikum wbt

Ulasan

loading...

Catatan popular daripada blog ini

Asal Melayu dari Atlantis

Hadits Jibril

Ilmu Pengasih Umum

loading...