loading...

Dongeng Bang Sibaguk

Assalamualaikum. Selamat dan sejahtera. Semoga hari ini Allah merahmati hidup kita seperti hari2 sebelumnya. Aamiin.
       Harini Tok Wan nak crita kat hangpa semua pasai Bang Sibaguk.  Hangpa penah dengaq dak crita pasai crita ni. Mesti ramai tak penah dengaq. Tok Wan dengaq crita ni pn masa Tok Wan budak2 dulu lagi. Arwah Tok kepada Tok Wan yang dok crita. Maklum la cucu kesayangan Tok.
Crita dia lebih kurang macam ni la......
Dulu dulu binatang boleh bercakap, kita pun boleh faham bahasa depa, masing-masing ada perasaan.
           Dalam banyak-banyak haiwan tu ada la sekoq bernama Bang Sibaguk dok dalam hutan tebal seorang diri. Depa kata saiz dia lagi besaq dari orang, badan berbulu, gagah dan perkasa. Dalam fikiran Tok Wan masa tu dok terbayang Big Foot, Mawas, Hantu Sejarang Gigi  takpun Hantu Raya. huhuhu... tp semua imaginasi Tok Wan la masa tu..
           Bang Sibaguk ni selain mencari makanan dihutan dia akan turun ke kampung2 untuk melihat aktiviti orang2 kampung. Setiap kali menjelang senja Bang Sibaguk akan bergantungan di pokok pokok di pinggir kampung.
          Nak dijadikan cerita, sewaktu Bang Sibaguk mengendap2 dari hutan berdekatan terlihat olehnya seorang budak perempuan sedang bermain dihalaman sebuah rumah berhampiran. Bang Sibaguk menghampiri dan dengan pantas menerkam dan membawa lari budak perempuan itu ke hutan. Maka meraunglah, ibu bapa dan keluarga mangsa bila menyaksikan kejadian itu.
           Seluruh kampung diberitakan dan dikerahkan untuk mencari budak perempuan itu.  Macam2 kaedah digunakan tetapi budak itu tetap tak ditemui.  Hari berganti hari, bulan berganti bulan maka pencarian dihentikan.
          Di masa yang sama, tengah-tengah hutan dan diantara pokok-pokok tinggi yang merimbun itulah letaknya rumah Bang Sibaguk. Sarangnya dilindungi daun-daun yang merimbun nun tinggi di atas. Memang siapa pun sukar untuk menemui sarangnya seakan-akan telah bersatu dengan daun-daun yang merimbun.
          Budak perempuan yang diculik oleh Bang Sibaguk terus diperlihara dan dikurung olehnya hingga meningkat remaja. Hasrat hati Bang Sibaguk ingin menjadikan budak perempuan itu sebagai istrinya. Budak perempuan tersebut tahu hasrat Bang Sibaguk disebabkan panjang akalnya dia tetap bersabar dan berlakon seolah-olah bersetuju dengan hasrat Bang Sibaguk tersebut.
            Setelah beberapa lama, budak perempuan itu mendapat satu akal. Dia telah memberi tahu Bang Sibaguk bahawa dia telah mengandung dan dia mengidamkan air kelapa tua. Bang Sibaguk yang mendengar berita itu berasa sangat2 gembira maka setiap hari dia pergi mencari buah kelapa untuk dibawa balik.
         Setelah mendapat buah kelapa tua itu. Budak perempuan itu minum air kelapa itu didepan Bang Sibaguk untuk yakinkan Bang Sibaguk bahawa dia benar benar mengandung, tetapi dia menyorokkan sabut-sabut kelapa tersebut selepas itu.
         Apabila Bang Sibaguk keluar mencari makanan dia terus memintal sabut kelapa itu untuk dijadikan tali. Setiap hari Bang Sibaguk membawa pulang kelapa setiap kali itu juga dia akan memintal sabut untuk dijadikan tali. Sambil sambil itu dia akan mengukur tali tersebut dari sarang Bang Sibaguk itu ke tanah.
          Pernah juga dia tali-tali pintalannya dijumpai oleh Bang Sibaguk. Tetapi budak perempuan itu pandai berhelah dengan mengatakan tali tali itu akan digunakan untuk membuat buaian anak mereka setelah anak mereka lahir kelak.
         Setelah berapa lama cukuplah panjang tali tersebut hingga mencecah ke tanah. Setelah Bang Sibaguk keluar untuk mencari makanan untuk mereka. Budak perempuan itu pun turun ke tanah untuk kembali ke pangkuan ibu bapanya.
         Dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Budak perempuan itu melumurkan tubuh badannya dengan selut dan lumpur dan berguling di atas kekabu supaya wajahnya tidak kelihatan seperti wajah asal. Dia takut kalau dia dijumpai oleh Bang Sibaguk dalam perjalanan pulangnya ke rumah keluarganya.
           Setelah berapa lama sampailah budak perempuan itu kerumahnya. Ibu bapanya terkejut apabila melihat anaknya masih hidup dan budak perempuan itu pun menceritakan kisahnya diculik Bang Sibaguk serta muslihatnya kepada keluarganya.
           Bapa budak perempuan itu mengambil seekor anak anjing lalu dibalut seolah-olah bayi yang baru dilahirkan. Sambil menunggu kehadiran Bang Sibaguk ke rumah mereka. Anaknya disorok dan dijaga oleh ahli keluarganya yang lain. Dalam hati bapa budak perempuan itu ia betul-betul yakin bahawa Bang Sibaguk pasti akan datang untuk mengambil anaknya semula.
           Setelah Bang Sibaguk tiba ke rumahnya dia melihat isterinya telah tiada dirumah, lalu dia pun keluar mencari isterinya di serata kampung. Setiap kampung disinggahnya sambil mengendap2 mencari isterinya.
           Setiap pokok disinggahnya. Bila sampai ke pokok kelapa dia akan menandanya dengan mencarik-carik dan mengoyak-ngoyak daun kelapa tersebut. Pada zaman dahulu dipercayai bahawa daun pokok kelapa seperti daun pokok pisang. Selepas dicarik-carik oleh Bang Sibaguk maka daun kelapa tersebut kekal seperti sekarang.
 
           Setelah beberapa lama mencari maka sampailah Bang Sibaguk ke kampung isterinya. Bila sampai sampai ke rumah isterinya. Bang Sibaguk terus bertanyakan tentang isterinya kepada bapa budak perempuan itu.
            Bapa budak perempuan itu menceritakan kepada Bang Sibaguk bahawa isterinya telah meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka. Lalu anak anjing yang dibungkus seperti bayi itu diserahkan kepada Bang Sibaguk.
           Apabila melihat bayi tersebut, Bang Sibaguk mengatakan hidung, bulu, mata, telinga bayi tersebut seperti dirinya. Maka dia terus memeluk bayi tersebut sambil menangis dan akhirnya dia tertido disebabkan kepenatan setelah beberapa hari mencari isterinya.
            Demi keselamatan keluarganya, penduduk kampung dan tak ingin perkara yang serupa berlaku lagi. Bapa kepada budak perempuan itu membakar besi tajam yang panas sehingga merah menyala. Tatkala Bang Sibaguk masih lagi tertido dengan nyenyak dia terus menikam Bang Sibaguk dari telinga hingga menembus kepalanya. Maka mengelupurlah Bang Sibaguk dan terus mati.
Sekian.
Dari cerita yang disampaikan Tok Wan sebenarnya ada beberapa persoalan yang bermain difikiran Tok Wan.
Yang pertama, setiap mahkluk Allah mempunyai perasaan.
Yang kedua, matlamat takkan menghalalkan cara. Tak boleh culik anak orang suka2 hati nk buat bini.
Yang ketiga, kesian jugak kat Bang Sibaguk... disebabkan penculikkan yang dibuatnya akhirnya mati dibunuh oleh bapa kepada budak perempuan tersebut. Kadang kadang fikir macam berat sangat hukumannya. Mungkin depa takut kot kalau Bang Sibaguk tau yang dia kena tipu.. abis satu kampung dia amuk nanti...
Pendapat Tok Wan je la.. pendapat korang Tok Wan tak tau... hahaha
Boleh bincangkan..
jumpa lagi next cerita...
Assalamualaikum.
        

Ulasan

loading...

Catatan popular daripada blog ini

Asal Melayu dari Atlantis

Hadits Jibril

Merantau : Tok Wan & Teater

loading...